15 atlet terima suntikan semangat

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Seramai 15 atlet diberi suntikan semangat untuk bersaing pada acara Brunei Run 2020 Bandar Seri Begawan apabila menerima tajaan daripada McDonald’s Brunei hari ini.

Perlumbaan tersebut dijadualkan berlangsung pada 5 Januari 2020 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara. Sehubungan itu, satu majlis penyampaian surat tajaan diadakan hari ini yang dihadiri oleh Presiden Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam, Mejar (B) Awang Talib bin Haji Mohd Tahir, para atlet dan juga ahli pasukan AKIF Media Marketing & Event.

Seramai 15 atlet telah dipilih berdasarkan pencapaian terbaik mereka dalam pertandingan kebangsaan dan pertandingan antara sekolah-sekolah.

Antara mereka ialah Norezam Mohd Isham, Abdul Malik bin Awang Hidup, Mohd Wafiuddin bin Abdullah, Mohammad Khairul Danial bin Zainal Abidin, Awangku Muhd Hazim Harith bin Pengiran Fadzil, Mohammad Efwan bin Haji Asmalee, Mohd Khairul Anuar bin Ramli, Muhd ‘Ammar Safwan bin Haji Zaidin, Hyde Natrisha Hujium, Nurul Amirah binto Karim, Farah Haziqah binti Mohd Khairul Arrifin, Nurul Jannah bin Anuar, Jenny Feng Ling Tan dan Zulfadli bin Bakar.

Acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Jeffery bin Metassim diikuti ucapan alu-aluan dari Pengurus Pemasaran McDonald’s Brunei, Dayang Filah Salleh.

Pengurus Pemasaran McDonald’s ketika menyampaikan tajaan kepada salah seorang atlet.
Sesi bergambar ramai selepas penyampaian tajaan daripada McDonald’s Brunei.
Suasana majlis penyampaian tajaan yang diadakan kelmarin.

Pengurus Pemasaran McDonald’s Brunei berkata, “selaras dengan teras ‘Diversity, Inclusion & Community Engagement’ McDonald untuk memberi kembali kepada masyarakat, kami dengan sukacitanya menyokong penyertaan atlet ke Brunei Run 2020 untuk memenuhi matlamat masing-masing dalam larian.

“Dengan berbuat demikian, kami terus mencari cara untuk memberi kesan yang bermakna kepada masyarakat kita bersama dengan organisasi tempatan.

Di majlis tersebut juga, penyampaian surat tajaan telah disampaikan kepada enam daripada 15 atlet berkenaan yang disampaikan oleh Dayang Filah. Brunei Run 2020 bertujuan untuk menyokong Hari Sukan Antarabangsa bagi pembangunan dan keamanan.

Dengan sokongan Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam, jalan yang dirancang tersebut akan bermula di Taman Haji Sir Omar ‘Ali Saifuddien dan membuat pusingan di sekitar Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. Sebagai salah satu acara utama pada tahun 2020, Brunei Run 2020 akan menampilkan empat kategori bagi perlumbaan kompetitif 10km (Kategori Terbuka Lelaki & Wanita) dan juga perlumbaan kompetitif 5km (Kategori Lelaki & Wanita Terbuka).

Hari pengambilan pakej kemasukan (REPC) akan diadakan pada 3 dan 4 Januari 2020 bertempat di Tarindak D’Seni. Selain itu, harga istimewa bilik untuk peserta berdaftar boleh didapati di Brunei Hotel, rakan kongsi penginapan rasmi.

Brunei Run 2020 dianjurkan dengan kerjasama McDonald’s Brunei Darussalam sebagai rakan kongsi masyarakat, YouC1000, Air Sehat, Brunei Hotel, Tarindak D’Seni, BROOKS Running dengan disokong oleh Jabatan Bandaran Brunei dan Muara, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam.