Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 belia, ketua delegasi sertai SSEAYP 48

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Delegasi Negara Brunei Darussalam seramai 15 belia dan seorang ketua delegasi berlepas ke Tokyo, Jepun, untuk menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun ke-48 (SSEAYP 48), kelmarin.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada delegasi ialah Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

    Pada majlis berkenaan, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah dibacakan oleh peserta SSEAYP 48, Awang Mohammad Wafiy Mustaqim bin Bahrin.

    Di samping itu, Hajah Umi Kalthum turut menyampaikan kata-kata semangat dan nasihat kepada delegasi negara yang diketuai oleh Pegawai Belia dan Sukan, Awang Syed Abdul Muiz bin Haji Syed Anayatullah.

    SSEAYP telah dilancarkan pada 1974 sebagai program pertukaran belia antarabangsa khusus bagi Jepun dan negara anggota ASEAN, berdasarkan kenyataan Bersama masing-masing yang dikeluarkan antara Jepun dan negara anggota ASEAN.

    Matlamat program adalah untuk menggalakkan persahabatan dan persefahaman bersama dalam kalangan belia Jepun dan negara-negara Asia Tenggara, disamping untuk meluaskan perspektif mereka tentang dunia, dan seterusnya, bagi mengukuhkan semangat kerjasama antarabangsa dan kemahiran praktikal.

    Penyertaan Brunei pada tahun ini merupakan kali ke-36 sejak 1985.

    Program itu bermula hari ini hingga 11 Disember iaitu selama 38 hari, di mana ia telah disertai bersama 168 orang belia dari 11 buah negara dengan menggunakan Kapal Nippon
    Maru.

    Kapal berkenaan akan singgah ke beberapa buah negara yang telah dipilih iaitu Vietnam dan Indonesia sebelum kembali ke Tokyo, Jepun.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam bergambar ramai sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BELIA DAN SUKAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda