Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 belia sertai JENESYS di Jepun

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN,13 Mac – Kumpulan belia seramai 15 orang berlepas ke Jepun untuk menyertai Special Batch of Japan-East Asia Network of Exchange For Student and Youths (JENESYS) Program To Commemorate The ASEAN 50th Anniversary – The First ASEAN University Student Council Union Conference yang akan berlangsung selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Mac ini.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan yang terdiri daripada mahasiswa, mahasiswi dan graduan dari beberapa institusi pengajian tinggi bersama seorang ketua dan seorang penyelia petang tadi ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim.

    Program dengan tema ‘Keamanan dan Kepimpinan Belia’ itu bermatlamat untuk mempromosikan kepimpinan belia serta kepentingan pendidikan, sosial, ekonomi dan budaya dalam ASEAN dan Jepun.

    Pengiran Anak Mohd Sofian bergambar ramai bersama rombongan belia yang berlepas ke Jepun.
    Pengiran Anak Mohd Sofian bergambar ramai bersama rombongan belia yang berlepas ke Jepun.

    Di samping itu, program itu memberikan peluang kepada para peserta untuk membincangkan mengenai unsur-unsur keamanan dan persefahaman dari sudut pandangan sejarah dan pengajaran yang dapat dipelajari daripadanya serta merangka pelan tindakan yang diterajui oleh para belia untuk menghubungkan kesatuan majlis pelajar di negara-negara ASEAN dan untuk menggalakkan interaksi dalam pelbagai isu, perkembangan serta proses dalam ASEAN.

    Semasa program itu, para peserta akan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan termasuk sesi orientasi, mendengar taklimat mengenai kebudayaan dan kesenian Jepun serta membuat lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan menarik termasuk Hiroshima Peace Memorial Museum and Park, Itsukushima Shrine di Pulau Miyajima, Meiji Shrine, Edo Tokyo Museum serta mengadakan kunjung ke Universiti Hiroshima.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda