15 ditahan bantah perintah berkurung

THE HAGUE, 14 NOV – Polis Belanda menahan 15 orang di bandar bahagian utara Belanda lewat kelmarin semasa pertempuran dengan para penunjuk perasaan yang mengadakan protes terhadap perintah berkurung separa yang dilaksanakan.

Polis berkata ratusan penduduk yang berkumpul di dataran di Leeuwarden yang membuat bantahan terhadap peraturan baharu anti koronavirus, yang mewajibkan restoran ditutup pada 8 malam. Pada Jumaat, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte mengumumkan langkah sekatan perintah berkurung sekurang-kurangnya tiga minggu yang menyasarkan restoran, kedai-kedai dan acara sukan bagi membendung jumlah rekod jangkitan.

Paparan oleh televisyen NOS menunjukkan pembantah menyanyi di tangga di luar kementerian keadilan.

Dan polis tempatan memberitahu melalui Twitter bahawa sekumpulan besar penunjuk perasaan menyalakan bunga api dan enggan meninggalkan pusat bandar. Di bawah perintah berkurung separa yang pertama di Eropah pada musim sejuk, restoran, kafe dan pasar raya dimestikan ditutup pada 8 malam dan kedai-kedai kurang penting ditutup pada 6 petang, sehingga 4 Disember.

Pengunjung dihadkan empat orang dan digalakan bekerja dari rumah.

Acara awam akan dibatalkan sementara perlawanan bola sepak antara Belanda dan Norway bagi kelayakan Piala Dunia minggu hadapan akan berlangsung tanpa kehadiran peminat. Walau bagaimanapun,sekolah terus dibuka dan orang ramai dibenarkan untuk meninggalkan rumah tanpa sekatan.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di The Hague Ahad lalu selepas pengumuman kerajaan untuk melaksanakan semula pemakaian pelitup muka di beberapa kawasan awam. – AFP

Para pembantah berkumpul di The Hague semasa sidang media perdana menteri Belanda mengumumkan sekatan selama tiga minggu. – AFP