MELAKA, 14 SEPT – Sebanyak 45 individu termasuk 15 wanita warga Thailand yang bekerja sebagai ‘gadis kalung bunga’, ditahan dalam serbuan Op Gegar di sebuah kelab malam di Taman Melaka Raya di sini malam tadi.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata dalam serbuan pada pukul 10:30 malam semalam, kesemua wanita yang turut bekerja sebagai penari dan pelayan pelanggan (GRO) kelab itu ditahan, kerana disyaki telah melanggar syarat pas atau permit, selain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Wanita warga asing berkenaan dilaporkan menjadi ‘gadis kalung bunga’ untuk menarik pelanggan ke kelab malam tersebut dan bayaran antara RM200 hingga RM1,000 satu malam, dikenakan bagi melanggan GRO berkenaan.
“Semasa serbuan dijalankan, beberapa warga asing termasuk GRO berkenaan, bertindak cuba melarikan diri mengikut pintu belakang dan ada yang sedang leka berhibur sebelum kesemua mereka berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anirwan Fauzee berkata pihaknya turut menahan lima lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja kelab berkenaan atas kesalahan sama, selain dua lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga dan pengurus kelab malam tersebut. – Bernama
