15 individu, 7 syarikat kena kompaun

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Seramai 15 individu dan tujuh buah syarikat telah dikenakan denda kompaun dalam Operasi Serentak di keempat-empat daerah yang dijalankan oleh bahagian penguatkuasaan jabatan-jabatan daerah dan Jabatan Bandaran seluruh negara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, baru-baru ini.

Individu yang terdiri daripada empat orang warga tempatan iaitu Pengiran Sabli bin Pengiran Haji Amin, Julaihi bin Misir, Mohamad Safwan bin Haji Awang Wardi dan Asri anak Anyut; dua warga Malaysia iaitu Muhammad Fazlie bin Idrus dan Rantai anak Jaffery Augustus, seorang warga India iaitu Imtiyaz Ahmad, enam warga Indonesia iaitu Muhammad Fuad Arifudin, Anika Yudi Handoko, Witono bin Juwadi, Imam Safi’i, Abu Yazid Albastomi dan Pujiono serta dua warga Bangladesh, Ruhul Amin dan Mohammad Motadbbir Hossain Late Fojor Ali telah dikenakan denda $100 setiap seorang atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) ceraian (a) iaitu membuang potong rokok dan sampah-sarap di kawasan awam.

Sementara itu, Syarikat Mum Bakery Cakes & House di Kompleks O.G. Tutong dikenakan denda $500 dan enam syarikat lain iaitu Aishaatika Minimart (Kampung Lumut Mukim Liang), Musbitha Sdn Bhd (Kampung Sabun), Inas Jaya Sdn Bhd (Kampung Sabun), Aizah Tailor (Lambak), Sinofood Express Seria, Syarikat Rajiya Interior (Jalan Pandan) telah dikenakan denda $200 atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) ceraian (a) (b) dan (e) kerana telah melonggokkan sampah-sarap di kawasan tanah kerajaan dan kawasan awam serta membuang sisa-sisa minyak di tempat-tempat awam dan di kawasan-kawasan bangunan komersial dan perniagaan.

Menurut kenyataan yang diberikan, individu dan syarikat berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun tersebut dan jika gagal, tindakan undang-undang akan diambil.

Kenyataan menjelaskan, Operasi Serentak yang dilaksanakan pada 14 Mei 2018 itu tertumpu bagi melaksanakan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) di kawasan kawalan jabatan-jabatan daerah dan jabatan-jabatan bandaran seluruh negara.

Antara sampah yang dilonggokkan di sekitar kawasan perniagaan.

Ia diadakan bagi memastikan kebersihan alam sekitar, kawasan kunjungan orang ramai dan juga kawasan-kawasan perniagaan.

Agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat adalah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Daerah Belait, Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Daerah Temburong; Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bandaran Tutong dan Jabatan Bandaran Seria dan Kuala Belait; serta Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi cawangan Daerah Tutong.

Sehubungan dengan itu, bahagian penguatkuasaan dari jabatan-jabatan daerah dan Jabatan Bandaran sekali lagi mengingatkan orang ramai dan pemilik syarikat-syarikat perniagaan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.

Sebarang aduan berhubung kesalahan membuang sampah di kawasan awam dan kawasan perniagaan, orang ramai boleh menghubungi bahagian penguatkuasaan dari jabatan-jabatan daerah dan Jabatan Bandaran seluruh Negara.