15 kes baharu, 96 sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Negara Brunei Darussalam sekali lagi mencatat kes jangkitan harian rendah hari ini apabila hanya 15 kes baharu jangkitan COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,244 orang.

Terdapat tambahan tujuh kes baharu kontak terdekat kepada empat kluster aktif sedia ada, sementara satu kluster baharu dari kediaman persendirian telah dikenal pasti, mencatatkan dua kes positif, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media harian COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Beliau turut mengumumkan penamatan dua kluster, Kluster Ishiwood Sdn Bhd dan Kluster Sengkurong Ops setelah tiada kes dikesan dalam 28 hari, menjadikan jumlah kluster aktif menurun kepada 106 kluster.

“Terdapat enam kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan 96 pesakit telah disahkan sembuh,” tambahnya.

Dalam kes-kes yang sedang dirawat, hanya satu dalam kategori 5 yang dirawat di Unit Rawatan Intensif dan memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) serta bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, terdapat satu kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,863 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal kepada 649,148 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru kita semua untuk terus berwaspada dan jangan leka dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi melindungi rakyat dan penduduk negara daripada kesan wabak COVID-19.

“Semoga segala usaha kitani dalam mengawal penularan wabak COVID-19 dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT jua,” ujarnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani