Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, MEI 18 – Operasi sekatan jalan raya dikendalikan Daerah Polis Tutong dan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di Lebuh Raya Muara-Tutong menghala ke Tutong hari ini telah mengesan sebanyak 15 kesalahan.
Kesalahan-kesalahan itu termasuklah pengubahsuaian kenderaan, tidak memakai tali pinggang keselamatan, memasang tabir atau pelekat plastik filem dan beberapa lagi kesalahan lain di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68.
PPDB dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, mengatakan sebanyak 507 buah kenderaan diperiksa semasa operasi itu, membabitkan 14 orang anggota polis terdiri daripada pegawai dan anggota polis yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Muhd Haiqal bin Abdullah Raman.
PPDB dan agensi penguat kuasa lain akan sentiasa melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan undang-undang dalam usahanya membendung, mengesan dan membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahu pun keamanan di negara ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.