15 korban baharu COVID-19

TEHRAN, 5 MAC – Iran hari ini telah melaporkan 15 kematian baharu akibat koronavirus novel, meningkatkan jumlah keseluruhan kepada 107 orang dan berkata ia akan menutup sekolah-sekolah dan universiti sehingga awal April.

Pelbagai acara sukan dan kebudayaan sudah pun ditangguhkan manakala jam kerja dikurangkan di seluruh negara, menjadi salah sebuah negara yang paling teruk dilanda selepas China.

Menteri Kesihatan Saeed Namaki mengatakan sekolah-sekolah dan universiti akan ditutup sehingga akhir Tahun Iran, 19 Mac dan semasa cuti kebangsaan sehingga awal April.

“Orang ramai digesa untuk tidak mengambil kesempatan ini sebagai peluang untuk membuat perjalanan ke luar negara. Mereka seharusnya duduk di rumah dan mematuhi amaran kami secara serius,” kata menteri.

“Virus ini sangat berjangkit. Ini adalah hal yang serius, jangan bersenda tentangnya,” ujarnya lagi. – AFP