Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    15 lagi meninggal dunia akibat ‘demam’

    SEOUL, 15 MEI – Korea Utara hari ini melaporkan tambahan sebanyak 15 kematian akibat ‘demam’, beberapa hari selepas negara itu mengesahkan kes pertama COVID dan melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara.

    Penularan itu, yang Kim Jong Un katakan telah mengakibatkan ‘gangguan besar’, menyebabkan negara yang mempunyai salah satu sistem kesihatan paling pincang di dunia berkemungkinan berdepan bencana terburuk.

    Korea Utara tidak mempunyai sebarang vaksin COVID, ubat rawatan antiviral atau kemampuan untuk menjalankan ujian besar-besaran.

    Ketika ia mengekalkan sekatan koronavirus yang ketat sejak pandemik bermula, pakar berkata bahawa penularan besar-besaran varian Omicron di negara-negara jiran bermakna ia hanya menunggu masa sebelum COVID menular di Korea Utara.

    Meskipun melaksanakan ‘sistem kuarantin kecemasan maksimum’ untuk memperlahankan penularan ke atas penduduknya yang belum divaksinasi, Pyonyang kini melaporkan jumlah kes harian baharu yang tinggi.

    Media rasmi negara KCNA hari ini melaporkan bahawa 42 orang telah meninggal dunia sejak penularan bermula, dengan 820,620 kes dan sekurang-sekurangnya 324,550 menerima rawatan perubatan.

    KCNA turut melaporkan ‘semua wilayah, bandar dan desa di negara itu berada di bawah perintah berkurung penuh dan kesemua unit pekerjaan, pengeluaran dan kediaman untuk ditutup.

    Korea Utara kali pertama mendedahkan jangkitan varian Omicron yang mudah berjangkit telah dikesan di ibu kota pada Khamis lalu, dengan Kim mengarahkan perintah berkurung seluruh negara selepas perjumpaan tergempar di Politburo.

    “Penularan wabak ini telah mengakibatkan gangguan besar ke atas negara ini,” kata Kim kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...