15 lagi pelajar diculik lelaki bersenjata Nigeria

KANO, NIGERIA, 16 OGOS – Lelaki bersenjata telah membunuh tiga orang di sebuah kolej pertanian di negeri Zamfara, Nigeria dan menculik 15 pelajar lain, kata pegawai sekolah dan polis hari ini, dalam gelombang terbaharu penculikan besar-besaran.

Penculikan bersenjata meminta tebusan itu sekarang menjadi tajuk berita hampir setiap hari di negara Afrika paling ramai penduduknya, tujuh tahun selepas pelampau Boko Haram mengejutkan dunia dengan menculik 276 perempuan dari Chibok.

Sekolah-sekolah menjadi sasaran geng jenayah di utara dan tengah barat Afrika yang biasanya berlaku di kawasan terpencil di mana pelajar tinggal di asrama hanya dilindungi oleh penjaga malam.

Kelmarin di Kolej Pertanian dan Sains Haiwan di Bakura, “lelaki bersenjata tidak diketahui telah menyerang sekolah sekitar 10 malam,” kata pendaftar Aminu Khalid Maradun kepada AFP.

Mereka membunuh seorang anggota polis dan dua pegawai keselamatan ‘dan menculik 20, termasuk 15 pelajar’, katanya. Lima lagi diculik adalah kakitangan dan anggota keluarga, tambahnya.

 

Pegawai sekolah lain turut mengesahkan serangan itu.

“Lelaki bersenjata memaksa diri mereka masuk ke sekolah menerusi pagar pejalan kaki dan membawa para tebusan,” kata Abdullahi Aminu, yang bertanggungjawab ke atas penginapan di sekolah memberitahu AFP.

“Mereka membunuh tiga kakitangan keselamatan dalam kejadian berbalas tembakan.”

Para pegawai berkata sekolah menerima panggilan telefon awal hari ini daripada penculik, mengatakan mereka telah menahan 20 tebusan.

Polis berkata petang hari ini bahawa 15 pelajar telah diculik dalam serangan itu namun berkata hanya empat kakitangan telah ditawan – tiga diselamatkan kemudian. – AFP