15 maut pertempuran etnik di Congo

LUBUMBASHI, 6 Jan – Sekurang-kurangnya 15 penduduk dari Republik Congo terbunuh semalam dalam pertempuran dengan puak Pygmi di tenggara negara itu.

“Pertempuran antara puak Bantus dan Pygmi di perkampungan Piana Mwanga menyebabkan 15 orang komuniti Bantus maut, 37 lagi cedera manakala 65 rumah dibakar,” kata ketua paderi Bandar Manono, Paul Kwanga.

Menteri Dalam Negeri Wilayah Tanganyika, Kamona Lumuna, mengesahkan serangan berkenaan namun jumlah sebenar mangsa terbabit belum diketahui.

“Satu pasukan akan dihantar esok untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku di perkampungan itu,” katanya.

Pemimpin masyarakat tempatan, Modeste Kubali, berkata 17 orang dibunuh manakala 47 lagi cedera dengan 65 dibakar.

Puak Pygmi dari etnik Twa sejak sekian lama mahu mereka diiktiraf sama seperti warga Congo lain namun mereka kerap dilanda konflik dengan etnik Bantus yang dianggap golongan kelas kedua. – AFP