15 maut serangan udara di Afghanistan

KABUL, 22 JAN – Sekurang-kurangnya 15 militan terbunuh selepas Tentera Udara Afghanistan menyasarkan kedudukan Taliban di wilayah timur Ghazni, lapor agensi berita Xinhua, memetik Kementerian Pertahanan kelmarin.

Dalam satu serangan, 11 militan terbunuh dan sebuah kenderaan dimusnahkan apabila pasukan udara melancarkan operasi di wilayah Nabroi di daerah Ghelan, kata kementerian itu dalam satu kenyataan, tanpa mendedahkan masa sebenar serangan udara dilancarkan.

Sementara itu di Dand di daerah Nawa yang berdekatan, empat militan maut.

Tentera udara Afghanistan turut memusnahkan sebuah terowong di daerah Miwand di selatan Kandahar.

Militan Taliban yang memerintah negara sebelum digulingkan pada akhir 2001, meneruskan pemberontakan bersenjata, mengorbankan tentera kerajaan serta orang awam.

Taliban sering menyasarkan beberapa tempat seperti pejabat daerah, kem tentera, pos kawalan keselamatan, manakala tentera Afghanistan bertindak balas dengan melancarkan serangan udara terhadap kubu militan di kawasan pedalaman. – Bernama