15 maut trak rempuh kenderaan

KAHERAH, 26 MAC – Sebuah trak treler telah merempuh beberapa buah kereta yang berhenti di lebuh raya, membunuh 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di ibu kota Mesir kelmarin, pihak berkuasa melaporkan.

Perlanggaran tersebut berlaku beberapa jam selepas perintah berkurung tengah malam berkuat kuasa di Mesir untuk mengawal penyebaran koronavirus. Selepas pukul 7 malam, pengangkutan awam dihentikan dan orang ramai dilarang daripada memasuki jalan melainkan mereka mempunyai kekecualian.

Pihak berkuasa berkata bas, trak dan kereta beratur di tempat pemeriksaan di selatan Mesir menuju ke tengah Kaherah untuk menunggu para pegawai meluluskan pengecualian perintah berkurung mereka. Sebuah trak yang sarat dengan bahan binaan merempuh sekumpulan kenderaan pada kelajuan tinggi, menurut akhbar tempatan Al-Ahram.

Para pegawai masih lagi menyiasat punca kemalangan. Mereka yang cedera telah dibawa ke hospital Pusat El Saff di wilayah Giza untuk menerima rawatan.

Kira-kira 8,000 orang terbunuh dalam kemalangan trafik di Mesir setiap tahun, di mana jalan-jalan raya tidak diselenggara dengan baik dan peraturan lalu lintas jarang di kuat kuasakan. Kemalangan berlaku di jalan keliling di ibu kota yang mempunyai selekoh tajam dan kenderaan laju.

Dalam satu tindak balas paling agresif ke atas pandemik koronavirus, Mesir mengenakan perintah berkurung 11 jam setiap malam ke atas 100 juta penduduknya. Menteri kesihatan melaporkan lebih dari 50 kes jangkitan kelmarin, membawa jumlah keseluruhan kes kepada 456 termasuk 22 kematian. – AP