ISKANDAR PUTERI, 8 OGOS – Sebanyak 15 negara bakal berentap dalam Kejohanan Antarabangsa Johor Petanque Terbuka Lelaki dan Wanita 2022 pada 27 dan 28 Ogos ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar berkata seramai 900 peserta dari dalam dan luar ne-gara seperti Korea Selatan, Denmark, Thailand, Perancis, Australia, Singapura, Zambia dan Macedonia dijangka menyertai kejohanan itu.
“Kejohanan ini julung kali dianjurkan di Johor (Malaysia) yang melibatkan penyertaan banyak negara luar, dan setakat hari ini (8 Ogos) sebanyak 834 peserta telah mendaftar secara rasmi.
“Pendaftaran kejohanan masih dibuka sehingga 23 Ogos ini, jadi kami mengalu-alukan lebih ramai penyertaan daripada penggiat sukan petanque terutama yang berada di negara ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini. – Bernama