Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 pegawai BKN sertai bengkel ‘Pemulihan Aset Jenayah’

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Seramai 15 pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah menamatkan bengkel ‘Pemulihan Aset Jenayah’ yang dikendalikan oleh Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara (PPN), hari ini.

    Bengkel tiga hari itu mendedahkan para peserta mengenai peruntukan Perintah Pemulihan Aset Jenayah 2012 dan juga kuasa penyiasatan yang boleh dilaksanakan di bawah undang-undang.

    Bengkel yang dikendalikan oleh Timbalan Peguam Kanan dan Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Suriana binti Haji Radin berserta Christopher Ng itu memberi tumpuan kepada bagaimana pegawai-pegawai dari BKN perlu menggunakan kuasa tambahan yang diberikan kepada mereka di bawah Perintah Pemulihan Aset Jenayah 2012, sejajar dengan kuasa mereka di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 untuk menjalankan siasatan dengan lebih baik dalam kes-kes narkotik yang melibatkan elemen kewangan.

    Topik seperti kerjasama antarabangsa, mendapatkan dan mengesan aset, pengurusan aset dan afidavit penggubalan untuk aplikasi pelucut hak juga dibentangkan dalam bengkel tersebut.

    Para pegawai BKN yang menyertai bengkel bergambar ramai bersama pegawai penyelaras bengkel.
    Para pegawai BKN yang menyertai bengkel bergambar ramai bersama pegawai penyelaras bengkel.

    Bengkel ini menandakan inisiatif PPN untuk terus mendidik dan menyebarkan kesedaran mengenai undang-undang Brunei Darussalam kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang memikul tugas dalam melaksanakannya.

    Ia juga merupakan inisiatif berterusan selepas BKN berjaya memperolehi dua permohonan Pemulihan Aset Jenayah dari Mahkamah Tinggi pada tahun lalu, dan penubuhan Unit Penyiasatan Kewangan BKN yang bertujuan untuk menjalankan siasatan dimensi kewangan daripada kes-kes yang melibatkan dadah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda