BANGKOK, 16 JAN – Thailand telah mendakwa 15 pegawai atas tuduhan rasuah selepas dua suspek warga China dilepaskan semasa serbuan di sarang pemalsuan pasport, kata polis hari ini.
Polis menyerbu bekas konsulat pulau Pasifik, Nauru di Bangkok lewat bulan lalu susulan dakwaan bahawa warga China mendiami kawasan tersebut.
Pegawai menemui dua lelaki China yang mana kedua-duanya dikehendaki Beijing kerana memalsukan pasport rakan senegaranya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Surachet Hakpal.
Tetapi kedua-duanya berjaya melarikan diri, katanya kepada pemberita, dengan pakatan sulit lima pegawai dari Jabatan Siasatan Khas serta sembilan pegawai polis dan seorang sarjan tentera.
Pegawai itu, bersama seorang penterjemah, meminta rasuah 10 juta baht (AS$245,000) daripada suspek atas bantuan mereka, kata Surachet.
Skim itu terbongkar, kata Surachet, apabila penterjemah mengaku selepas ditangkap cuba melarikan diri ke Malaysia dan cakera keras yang hilang mengandungi bukti asal telah ditemui.
Laporan rasmi berkata kira-kira 2.5 juta baht telah dirampas semasa serbuan itu, tetapi rakaman yang ditemui pada cakera keras dan disahkan oleh penterjemah menunjukkan kira-kira lapan juta baht telah ditemui.
“Mereka memberitahu orang Cina itu bahawa ia tidak mencukupi dan meminta empat juta baht lagi,” kata Surachet pada sidang akhbar.– AFP