15 pelajar berjaya ke pusingan akhir

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Seramai 15 orang pelajar sekolah menengah berkeperluan khas berjaya memasuki pusingan akhir dan bertanding dalam Pertandingan Menghafaz Ayat-ayat Lazim bagi Pelajar Berkeperluan Khas Sekolah-sekolah Menengah Senegara ke-3 yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), kelmarin.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan diadakan bersempena dengan bulan Ramadan yang mana ia bermatlamat untuk menjadikan bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat lazim sebagai amalan penting dalam rutin harian mereka dan pada masa yang sama, menanamkan perasaan cinta pada Al-Quran.

Di samping itu, pertandingan berkenaan turut menyokong amalan pendidikan inklusif dengan memastikan pelajar-pelajar berkeperluan khas juga diberikan peluang yang sama untuk menguasai bacaan Al-Quran dan memaksimumkan potensi pelajar berkeperluan khas dalam menghafaz ayat-ayat lazim ke arah menjadi seorang qari atau qariah.

Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir ialah pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, pengetua, ibu bapa peserta dan pegawai-pegawai dari Unit Pendidikan Khas.

Pemangku Timbalan Ketua Unit Pendidikan Khas, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Alimin berkata bahawa pertandingan yang mula diperkenalkan pada 2017 itu, telah membuka lebih banyak pintu bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas termasuk empat orang pelajar kurang daya penglihatan untuk diterima melanjutkan pengajian mereka di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Antara peserta lelaki yang bertanding dalam pusingan akhir pertandingan itu.

Beliau juga menyatakan bahawa pertandingan itu diadakan untuk memastikan bahawa pelajar-pelajar berkeperluan khas diberikan peluang yang sama untuk menguasai kemahiran dalam bacaan Al-Quran.

Dalam pertandingan itu, seramai 15 orang daripada 50 orang yang menyertai pertandingan berkenaan berjaya untuk memasuki pusingan akhir pertandingan di mana seramai empat orang pelajar lelaki dan tiga orang pelajar perempuan bertanding dalam Kategori Aliran Utama (Mainstream) dan seramai empat orang pelajar lelaki dan empat orang pelajar perempuan bertanding dalam Kategori Program Pra-Vokasional.

Di bawah Kategori Aliran Utama bagi lelaki, juara disandang oleh Awang Eddy Iswanndy Ismail bin Imran dari Sekolah Menengah Masin, tempat kedua ialah Awang Mohd Akram Rahmani Rafiuddin bin Haji Roslan dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam dan tempat ketiga ialah Awang Danial Akmal bin Yantinee Shahmaddey dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Serasa.

Di bawah Kategori Aliran Utama bagi perempuan pula, juara disandang oleh Dayang Izzah Zuhairah binti Yahya dari Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, tempat kedua Dayang Fatin Hanani binti Huzri dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain dan tempat ketiga Dayang Siti Noorsyahirah Naqibah @ Siti Nurulfitri binti Awang Zakaria dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI).

Sementara itu, di bawah Kategori Program Pra-Vokasional bagi lelaki, juara ialah Ampuan Mohd Aiman Syahmi bin Ampuan Haji Mohd Sahrol Amiruddin dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, tempat kedua ialah Awang Mohd Nasran Nasrullah bin Haji Hamdi dari Sekolah Menengah Katok dan tempat ketiga Awang Mohd Asmadi bin Abdullah Mahadi dari Sekolah Menengah Lambak Kiri.

Manakala itu, bahagian perempuan, juara dimenangi oleh Dayang Nurul Aziqah binti Abdullah Mohd Sharin dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, tempat kedua ialah Dayang Nurul Afiqah binti Irwan dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan tempat ketiga ialah Dayang Ameerah Syaheerah binti Zulkiflee dari Sekolah Menengah Rimba.