15 pelajar cemerlang terima AIPC-DANA 2021

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Seramai 15 pelajar terdiri daripada anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam 2020 telah menerima Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang DANA 2021 (AIPC-DANA 2021), hari ini.

Penyampaian anugerah pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) itu telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA).

Turut hadir menyaksikan penyampaian anugerah berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Majlis penyampaian anugerah kepada lima pelajar bagi peperiksaan Bunei Cambridge GCE peringkat ‘O’ dan mendahului menerima anugerah berkenaan ialah Dayang Nurul Fitri Sofia binti Haji Rosli yang masing-masing menerima sijil penghargaan, satu unit komputer berserta mesin pencetak dan pakej kemudahan belajar selama dua tahun dalam bentuk wang tunai bernilai $760.

Lima lagi pelajar menerima anugerah bagi Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama Darjah 6 (SSSRU) yang setiap seorang menerima sijil penghargaan, satu unit komputer berserta mesin pencetak dan wang simpanan berjumlah $500 yang dikreditkan terus ke akaun DANA masing-masing di Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang bagi peperiksaan awam 2020.

Sementara itu, lima orang pelajar menerima anugerah bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dengan setiap seorang membawa pulang sijil penghargaan, satu unit komputer berserta mesin pencetak dan pakej kemudahan belajar selama dua tahun dalam bentuk wang tunai bernilai $400.

AIPC-DANA pada tahun ini merupakan yang ke-14 diadakan dengan tujuan utama sebagai pendorong kepada anak-anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan di samping sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka untuk terus berusaha bagi meraih kejayaan khususnya dalam bidang pelajaran.

Salah seorang pelajar cemerlang dalam GCE peringkat ‘O’ yang sempat ditemui, Awang Mohammad Wafiy Radhiy bin Aminuddin, dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan menjelaskan, dengan adanya APIC-DANA itu menjadi motivasi kepada mereka (penerima anugerah lain) untuk terus berusaha dengan gigih yang dapat menyumbang untuk masa depan negara.

Pelajar cemerlang bagi peperiksaan PSR, Dayang Eva Ifa Alya binti Abdullah @Yohanan dari Sekolah Rendah Sultan Hashim, Batu Apoi pula berkata, anugerah itu dapat membantu anak-anak yatim untuk mengejar kejayaan dan impian mereka.

Beliau yang bercita-cita menjadi seorang tentera pada masa akan datang juga berkongsi kata-kata motivasi kepada anak-anak yatim untuk terus berusah meraih cita-cita dengan rajin belajar dan jangan berputus harapan.

Sementara itu, penerima anugerah bagi SSSRU, Dayang Anis Najwa binti Rafedi dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hajah Masna pula berpendapat bahawa anugerah berkenaan sedikit sebanyak memberikan motivasi kepada pelajar untuk terus tekun belajar dengan gigih.

“Walaupun hanya mendapat sokongan daripada seorang penjaga, ia seperti berjalan hanya dengan satu kaki, tapi untuk terus mengapai cita-cita dan kejayaan, perjalanan itu harus diteruskan,” ujarnya.