Sunday, March 23, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    15 pelajar UBD terima biasiswa

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Hengyi Industries Sdn Bhd mengadakan Majlis Penandatanganan Biasiswa untuk 15 orang mahasiswa dan mahasiswi di bawah Program Biasiswa Bersama, inisiatif kerjasama antara Hengyi Industries, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Zhejiang University (ZJU), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat Hengyi Industries, Pulau Muara Besar Industrial Park ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah.

    Turut hadir Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; dan pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan daripada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Xu Ye.

    Semasa majlis berkenaan, 15 orang mahasiswa dan mahasiswi UBD menandatangani perjanjian biasiswa, dengan disaksikan Xu Ye dan tetamu kehormat, sekali gus menandakan permulaan perjalanan akademik mereka di luar negara.

    Acara diteruskan dengan lawatan bas mini berpandu ke Hengyi Industries, memberikan para mahasiswa dan mahasiswi peluang melihat secara langsung operasi syarikat, sebelum berakhir dengan sesi bergambar ramai.

    Majlis menandatangani perjanjian ini menandakan kumpulan ke-12 mahasiswa dan mahasiswi UBD yang mengikuti Bachelor of Chemical and Process Engineering yang dianugerahkan biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama, satu inisiatif di bawah Hengyi Future-Ready bertujuan melengkapkan belia Brunei dengan kemahiran dan peluang untuk menjadi generasi jurutera berkemahiran tinggi.

    Sebagai sebahagian daripada program itu, para mahasiswa dan mahasiswi akan melanjutkan pengajian mereka di luar negara di ZJU di Hangzhou, China selama setahun setengah tahun, yang akan dibiayai oleh biasiswa. Sebelum ini, mereka telah berjaya menamatkan pengajian akademik selama setahun setengah tahun di UBD.

    Selepas kembali, mereka akan melengkapkan tahun terakhir mereka di UBD sebelum menjalani latihan amali selama enam bulan dengan Hengyi Industries. Hengyi Industries akan menawarkan pelajar di bawah program peluang untuk sepenuh masa pekerjaan selepas tamat pengajian.

    Xu Ye bergambar ramai bersama para penerima biasiswa pada majlis penandatanganan kelmarin. – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    Majlis penandatanganan pelajar dan saksi kelmarin. – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda