15 pelanggan bertuah Pan Bright Travel dipilih

Oleh Ak Zaki Kasharan

BELAIT, 4 SEPT – Seramai 15 pemenang bertuah bagi promosi Travel & Win a Car or Birkin ke-6 anjuran Pan Bright Travel telah dipilih hari ini dengan cabutan utama bagi menentukan pemenang hadiah utama berupa sebuah kereta Hyundai Verna baharu atau beg mewah Birkin.

Cabutan di Pejabat Pan Bright Travel Service Sdn Bhd, Kuala Belait, telah dilakukan oleh Pengurus Negara Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Lim Guat Wen; Pengurus Bank Baiduri Cawangan Kuala Belait, Ngo Yik Pei dan Pengarah Tourism Malaysia di Brunei Darussalam, Haji Ibrahim Seddiqi bin Talib.

Majlis cabutan turut disaksikan perwakilan media, pengurusan kanan Pan Bright Travel dan wakil lain dari Bank Baiduri dan Tourism Malaysia Brunei Darussalam.

Selain hadiah utama, Pan Bright Travel Service turut menyediakan sebuah lagi kereta iaitu Hyundai i10 baharu untuk dipandu pulang oleh pemenang kedua dalam cabutan utama yang akan diadakan pada 22 September depan di Pusat Membeli-belah Times Square.

Hadiah-hadiah lain termasuk tiket penerbangan pergi balik ke Dubai, Tokyo, Taipei dan Kuching tajaan RB, tiket penerbangan pergi balik ke Istanbul, Maldives, Osaka dan Singapura tajaan Singapore Airlines (SIA) serta dua hadiah Royal Skies Miles bernilai 50,000 setiap satu tajaan Bank Baiduri.

Selain itu ialah pakej tiga hari dua malam ke Kuala Lumpur yang merangkumi tiket penerbangan pergi balik, penginapan di hotel bertaraf empat bintang dengan sarapan pagi untuk dua orang.

Pemenang lain akan membawa pulang pakej tiga hari dua malam ke Kota Kinabalu yang merangkumi tiket penerbangan, penginapan di hotel bertaraf empat bintang berserta sarapan pagi untuk dua orang di mana pakej ke Malaysia disokong oleh Tourism Malaysia Brunei Darussalam.

Pengarah Urusan Pan Bright Travel, Johnnie Cheong dalam kenyataan media menyatakan permohonan maafnya atas kelewatan pemilihan cabutan bertuah kerana perlu mematuhi sekatan penjarakan fizikal seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan berikutan wabak COVID-19.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka di samping rakan perniagaan mereka, RB, SIA, Bank Baiduri dan Tourism Malaysia Brunei atas sokongan berterusan mereka.

Gambar ramai perwakilan RB, Bank Baiduri dan Tourism Malaysia bersama pengurusan kanan Pan Bright Travel semasa cabutan bagi memilih 15 nama pemenang yang akan mengikuti cabutan utama promosi Travel & Win a Car or Birkin ke-6. – Gambar oleh Muiz Matdani