Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 24 April – Pusat Membeli-Belah KBSentral dibanjiri orang ramai, hari ini, bagi cabutan bertuah bagi bulan April namun hanya 15 orang pelanggan bertuah membawa pulang hadiah-hadiah menarik.
Pada majlis itu, hadiah pertama berupa baucar pakej hari ulang tahun tajaan SugarBun bernilai $250 dimenangi oleh Dayang Rasidah binti Sidup.
Sementara itu, hadiah ketiga teratas lainnya termasuklah penginapan satu malam di Hotel Garden Sentral dan Hamper Jaya Trolley.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang cabutan bertuah ialah Yang Di-Pertua Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Daerah Belait, Hajah Kertini binti Orang Kaya Paduka Setia Diraja Abang Haji Abu Hanifah.
Pengurus Pemasaran dan Acara KBSentral, Awang Ahmad Anwar Rosly dalam ucapan alu-aluannya berkata, bulan April merupakan bulan yang sangat produktif bagi pengurusan KBSentral sama seperti di bulan-bulan yang lepas.

Menurutnya, KBSentral akan terus mengadakan beberapa acara seperti Hari Alam Sekitar pada 26 April selain Pameran Mini Syarikat Pelancongan Anthony Tours yang akan berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 April ini.
“Pada penghujung bulan April, akan diadakan juga Brisk Walk bertempat di kawasan letak kereta berhadapan dengan pintu masuk KBSentral dan bagi mereka yang telah mengisikan borang supaya akan dapat mengambil botol dan baju di tingkat pertama pada 25 April bermula pukul 1 petang hingga 9 malam dan 26 April hingga 29 April bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam,” katanya.