15 pemandu dikenakan tindakan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Seramai 15 orang pemandu dikenakan tindakan, dengan 13 daripadanya dikeluarkan kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk mengubahsuai kereta, tayar keluar mudguard, memandu kenderaan yang tidak selamat dipandu dan cukai jalan mansuh.

Manakala yang lainnya dikeluarkan doket atas kesalahan tidak mempunyai insurans dan surat peringatan (Polis 190).

Kesalahan-kesalahan ini dikesan ketika sekatan jalan raya di kawasan KM63 Jalan Lebuh raya Muara/Tutong menghala ke Tutong berdekatan Mahad Islam Tutong selama dua jam yang dikendalikan anggota Balai Polis Tutong dan diketuai oleh Sarjan Mejar 2150 Jaidin bin Abdullah.

Pasukan Polis Diaja Brunei mengingatkan pemandu bahawa operasi seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas di negara ini.

Anggota polis ketika melakukan pemeriksaan terhadap salah sebuah kenderaan.