Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Bank Baiduri mengumumkan kumpulan kedua perantis dalam Program Perantis Graduan (GAP) di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri pada 8 April lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, daripada lebih 300 permohonan, bank berkenaan telah menandatangani seramai 15 orang perantis yang akan memulakan program enam bulan dengan bank itu bermula esok (11 April).
Kenyataan menerangkan bahawa kumpulan perantis baharu itu mempunyai pelbagai latar belakang akademik daripada hubungan awam, IT dan geologi, di mana bank berkenaan berharap akan membawa kepelbagaian dan idea-idea yang berbeza kepada kumpulan itu.
Dengan penekanan kepada pendekatan lebih digital kepada pengambilan peserta, proses pemilihan telah dilaksanakan sepenuhnya secara maya dan para pemohon juga dinilai menerusi pembentangan video untuk menilai kreativiti dan kesediaan mereka bagi melangkah di luar zon selesa masing-masing.
Kenyataan menyatakan lanjut bahawa mewakili bank pada majlis mengalu-alukan kumpulan perantis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Perniagaan, Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia Kumpulan, Bank Baiduri, Veronica Chong serta ahli-ahli jawatankuasa pengurusan bank berkenaan.
GAP merupakan sebuah program pembangunan dan pembelajaran holistik yang bertujuan untuk menyediakan bagi para graduan baharu dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan yang akan meningkatkan kebolehpasaran mereka di pasaran kerja tempatan.
Program itu dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu komponen bilik darjah dan giliran kerja di Bank Baiduri.
Dalam bulan-bulan yang akan datang, para perantis akan memulakan aktiviti pembelajaran bilik darjah, di mana mereka akan diperkenalkan kepada dunia perbankan dan memperoleh ilmu pengetahuan komprehensif mengenai pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan.
Mereka juga akan menghadiri kursus-kursus yang bertujuan untuk membantu mereka memperoleh kemahiran lembut seperti komunikasi efektif, pengurusan projek, kerja berpasukan dan kolaborasi untuk meningkatkan ketersediaan kerja keseluruhan mereka.
Kemudian, tambah kenyataan, mereka akan menjalani latihan sambil bekerja dalam jabatan-jabatan yang berlainan di bank itu, di mana ia direka untuk menawarkan pengalaman langsung kepada mereka mengenai kerja dalaman sebuah institusi kewangan.
Pada masa yang sama, para perantis juga akan berpeluang untuk menyumbang kepada pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bank berkenaan dan menyertai pelbagai aktiviti-aktiviti kesihatan dan kesejahteraan dalam Inisiatif Kesejahteraan Pekerja Bank Baiduri.
Di penghujung program enam bulan itu, para perantis boleh memohon bagi mana-mana kekosongan yang bersesuaian dalam Kumpulan Bank Baiduri atau mengejar kerjaya masing-masing dengan organisasi-organisasi lain.
Mengulas mengenai program itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata bahawa pusingan pertama program itu telah mencatatkan kejayaan yang besar dan ia menunjukkan bahawa program itu dapat menawarkan para graduan dengan pengalaman kerja dunia sebenar yang berharga serta dapat membantu mereka untuk mendapatkan tempat berpijak yang lebih kukuh dalam pasaran pekerjaan.
Beliau berkata lagi bahawa GAP juga membantu mereka membina kemahiran lembut yang boleh dipindahkan di mana ia boleh dimanfaatkan oleh mereka dalam kerjaya masa hadapan.
Oleh itu, beliau berharap inisiatif itu akan memainkan peranan dalam menjana tenaga kerja yang berkemahiran dan boleh menyesuaikan diri serta bersedia untuk menangani apa jua cabaran di masa hadapan.
GAP merupakan bukti kukuh komitmen Bank Baiduri untuk membantu para graduan baharu dengan membantu mereka membangunkan kemahiran kebolehpasaran dan sebuah pemikiran pembelajaran.
Ia adalah untuk menyokong Matlamat 1 bagi Wawasan Brunei 2035, mencerminkan aspirasi negara bagi dikenali meluas sebagai sebuah tenaga kerja yang berjaya, berkemahiran tinggi dan berpendidikan.