Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    15 peserta AITI tamat program latihan kepimpinan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Seramai 15 orang peserta daripada Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) yang terdiri daripada 12 orang penolong pengurus, seorang ketua pegawai teknikal dan dua orang pegawai teknikal kanan telah berjaya menamatkan program latihan kepimpinan selama dua bulan yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Sehubungan itu, para peserta diraikan dan menerima sijil mereka dalam Majlis Penyampaian Sijil Program Kepimpinan UTB-AITI yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan UTB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar dalam ucapannya menyatakan keyakinan bahawa kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh para peserta sepanjang program berkenaan akan membantu mereka untuk bergerak ke hadapan dalam kerjaya mereka.

    Beliau juga berkata bahawa pengalaman yang diperoleh mereka dalam menggubal satu dasar di bawah tekanan masa, akan mengembangkan diri mereka supaya akan menjadi seseorang yang dapat membawa AITI ke tahap seterusnya.

    Antara warga IBTE yang menghadiri majlis itu yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa.

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah bergambar ramai dengan para peserta program kepimpinan yang diraikan di majlis berkenaan.

    Di samping itu, beliau menggalakkan para peserta untuk terus membina dan memupuk hubungan yang telah mereka bangunkan dengan peserta-peserta lain yang menyertai program berkenaan.

    Ir Haji Jailani menyeru para peserta program untuk berkongsi apa yang mereka pelajari daripada program berkenaan kepada rakan-rakan sejawat yang lain kerana dengan mengongsi pandangan serta pengalaman, ia akan membantu mereka untuk meningkatkan lagi tahap kepimpinan masing-masing serta merangsang yang lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan.

    Beliau mengingatkan bahawa kepimpinan bukan sahaja mencapai kejayaan persendirian tetapi ia adalah mengenai memperkasakan yang lain untuk mencapai potensi penuh mereka.

    Terdahulu, Dekan Sekolah Perniagaan UTB, Dr Fadzliwati binti Mohiddin berkata bahawa program kepimpinan berkenaan telah dikendalikan menerusi proses berterusan yang sistematik di mana para peserta mempelajari kemahiran dan pengetahuan yang akan mempersiapkan mereka bagi kepimpinan.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta program yang disempurnakan oleh Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.

    Pada majlis berkenaan, peserta terbaik program berkenaan, Awang Zul Azmi bin Haji Asli dalam ucapannya bagi mewakili semua peserta program menyatakan penghargaan mereka kepada pensyarah-pensyarah program serta yakin bahawa pengetahuan yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya dan membantu mengembangkan kepimpinan mereka.

    Pada 2022, UTB dan AITI telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan program berkenaan dengan matlamat untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin berkualiti tinggi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi memanfaatkan peluang, mengatasi cabaran serta menyesuaikan diri kepada keadaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...