15 qari, qariah perdengarkan bacaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan bermula hari ini dengan seramai 15 peserta iaitu 12 qari dan tiga qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing.

Mereka ialah Awang Muhammad Nur Asymawi bin Awang Asli, Awang Mohammad Shair bin Haji Sulaiman, Dayang Siti Zahrina binti Haji Abdul Wahab, Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abdul Rajid, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri, Awang Muhammad Sa’adun bin Suhaili, Awang Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudin Haji Metasim, Hajah Nurhapidzah binti Haji Hassan, Awang Mohammad bin Ali, Awang Abdul Aziz bin Haji Mohammad, Awang Nazirul bin Haji Asmat, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jefri, Awang Abdul Haziq Syarafuddin bin Abdul Habib dan Awang Muhammad Nur Hadi bin Ismail.

Pertandingan akan diteruskan lagi esok dan lusa di Dewan Melor, Tingkat 2, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.

Bagi memberi peluang orang ramai mengikuti musabaqah berkenaan, pihak jawatankuasa menyiarkan secara langsung pertandingan melalui akaun Instagram rasmi KHEU, @kheu.brunei dan melalui Facebook radio Nur Islam 93.3FM.

Menurut kenyataan KHEU, musabaqah berkenaan merupakan projek tahunan KHEU adalah laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke peringkat akhir, serantau dan antarabangsa.

Penganjurannya dihasratkan dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara ini dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat dalam mempelajari teknik bacaan yang betul dan lebih teratur.

Pada tahun ini, seramai 53 orang peserta terdiri daripada 40 qari dan 13 qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang tiga hari pertandingan.

Sementara itu, majlis pengumuman keputusan dan penyampaian cenderamata akan diadakan pada 25 November ini pukul 8 pagi yang akan disiarkan secara langsung dari Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU melalui Instagram rasmi KHEU dan melalui radio di Rangkaian Nur Islam FM, Radio Televisyen Brunei.

ATAS & BAWAH: Antara peserta qari dan qariah yang memperdengarkan bacaan mereka pada hari pertama pertandingan, kelmarin. – Gambar serahan KHEU