15 saudara baharu terima sijil

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 13 OGOS – Seramai 15 orang saudara baharu lelaki di Daerah Belait telah berjaya menamatkan Skim Bimbingan Lanjutan (II) dan diraikan pada majlis penutup yang berlangsung di Dewan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) cawangan Daerah Belait, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Agama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail yang dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.

Kursus yang dikendalikan setiap tahun oleh PDI di seluruh negara itu berjalan selama 14 hari bermula 25 Julai lalu.

Majlis penutup telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh pelajar dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar yang sedang menjalankan penempatan kerja di PDI cawangan Daerah Belait.

Kemudian majlis disusuli dengan ucapan daripada tetamu kehormat yang antara lain menyatakan bahawa para peserta sangat bertuah kerana berjaya menamatkan kursus berkenaan dalam mempelajari lebih lanjut mengenai pengajaran agama Islam.

Beliau menyatakan harapan supaya para peserta akan menggunakan pengetahuan yang diperolehi dan terus mengambil peluang untuk mengembangkan dan memperbaharui pengetahuan dan pengajaran Islam.

Selepas menyampaikan ucapan, Awang Mohamad Aliyani menyampaikan sijil kepada saudara baharu sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Awang Mohamad Aliyani bergambar ramai bersama saudara-saudara baharu yang diraikan.
Awang Mohamad Aliyani menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta pada majlis penutup.