BANGKOK, 8 DIS – Anggota tentera Thailand telah bertempur dengan suspek-suspek penyeludup dadah di kawasan hutan di utara negara dekat sempadan Myanmar, membunuh 15 orang, pihak berkuasa melaporkan hari ini.
Anggota tentera berkenaan terserempak dengan kumpulan suspek berkenaan membawa beg-beg galas malam tadi dan mengarahkan mereka berhenti, sebaliknya mereka melepaskan tembakan, menurut Pasukan Petugas Pha Muang, unit tentera yang bertanggungjawab bagi keselamatan di wilayah sempadan utara Thailand.
Pertempuran senjata berlarutan kira-kira 10 minit, menurut agensi itu. Tiada anggota tentera cedera namun pagi ini apabila tentera kembali untuk memeriksa lokasi pertempuran di daerah Fang, wilayah Chiang Mai, mereka menemui 15 suspek penyeludup mati dan 29 beg galas berisi syabu, pihak berkuasa berkata.
Siasatan masih sedang dijalankan sama ada suspek-suspek membawa masuk dadah berkenaan dari Myanmar. Laluan itu adalah laluan biasa bagi dadah diseludup masuk ke Thailand.
Jumlah sebenar dadah yang dirampas tidak diberikan dan pasukan petugas berkenaan tidak menyatakan sama ada terdapat suspek yang dipercayai melarikan diri.– AP