15 tebusan berjaya melarikan diri

KANO, NIGERIA, 22 JUN – Seramai 15 orang tebusan berjaya melarikan diri daripada penculik ketika sedang tidur, berminggu-minggu selepas mereka menjadi antara lebih 130 murid dan guru-guru diculik lelaki bersenjata, pengetua sekolah memberitahu AFP hari ini.

Pada 30 Mei lalu, kira-kira 200 lelaki bersenjata yang menaiki motosikal dari salah satu kumpulan gengster menyerang bandar Tegina di wilayah Niger, menculik 136 murid dan beberapa orang guru, menurut pihak berkuasa.

Lewat Sabtu lalu, 15 daripada tebusan berjaya menyelinap dari jagaan penculik di sebuah rumah di kampung pendalaman berhampiran dengan wilayah Zamfara ketika penculik sedang tidur, kata Abubakar Alhassan, pengetua sekolah Islam Salihu Tanko.

“Saya boleh mengesahkan bahawa 15 tebusan berjaya melarikan diri dari penculik,” Alhassan memberitahu AFP.

“Mereka berjaya menyelinap keluar dari rumah di mana mereka dikurung selepas pengawal lupa mengunci pintu dari luar,” katanya.

 

Mereka yang terselamat terdiri daripada sembilan kanak-kanak lelaki dan enam perempuan, berjalan pada waktu malam ke daerah Birnin Gwari di wilayah Kaduna.

Kesemua 15 tebusan tersebut dipisahkan daripada tebusan lain dan dibawa merentas sempadan wilayah Zamfara di mana mereka dipukul.

“Mereka dipukul dan diseksa secara psikologi dalam bentuk penghinaan,” kata Alhassan.

“Kami percaya mereka berjaya terlepas,” tambahnya.

Kesemua yang berjaya melarikan diri termasuk tiga orang guru, kini bertemu semula dengan keluarga mereka dan berharap mereka yang lain juga akan dapat dibebaskan. – AFP