15 terbunuh dalam serangan udara

MAARET MISRIN, 5 MAC – Serangan udara Rusia hari ini telah membunuh kira-kira 15 orang awam termasuk kanak-kanak di kubu terakhir pihak pemberontak di Idlib di barat laut Syria, menurut pemerhati perang yang berpusat di Britain.

Serangan tengah malam itu menyasarkan kawasan penduduk Syria yang berkumpul di luar bandar Maaret Misrin di wilayah Idlib, menurut pihak Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan di Syria.

Wartawan AFP menyaksikan mayat-mayat mangsa dibungkus dengan selimut tebal di hospital setempat.

Seorang penyelamat dilihat membawa seorang mayat kanak-kanak kecil, mulut serta tubuhnya dipenuhi dengan debu. Di kawasan serangan, dua buah bangunan besar satu tingkat runtuh berhampiran dengan taman bunga orkid hijau.

Serangan tersebut turut memusnahkan ladang ternakan tempat para pelarian menetap di sana. Berpuluh-puluh ternakan ayam yang terselamat telah diliputi oleh debu, dan pihak penyelamat menggunakan jentera berat untuk mengalihkan runtuhan tersebut.

Mangsa serangan udara menerima rawatan di bandar Maaret Misrin di Wilayah Idlib selepas Rusia melancarkan serangan udara yang mengorbankan 15 orang. – AFP

Pihak pemerhati berkata angka korban dijangka meningkat ketika ramai yang tercedera berada dalam keadaan kritikal.

Pasukan rejim yang disokong oleh Moscow, sejak Disember lalu melancarkan pertempuran ke atas pejuang Jihad yang menguasai rantau Idlib, menyebabkan berjuta-juta orang – kebanyakannya wa-nita dan kanak-kanak – telah lari meninggalkan rumah mereka.

Sebelum peperangan, Idlib mempunyai penduduk seramai tiga juta orang, dan kini hampir separuh daripadanya telah di tempatkan di lokasi lain di negara tersebut.

Pihak pemerhati berkata ia akan memastikan jenis pesawat yang digunakan untuk serangan tersebut dan ingin mengetahui corak penerbangan dan jenis senjata yang digunakan.

Serangan dilancarkan selepas pemimpin Rusia dan Turki mengadakan perjum-paan di Moscow untuk membincangkan situasi di Idlib, di mana Ankara yang menyokong pihak pemberontak dan secara langsung terlibat dalam pertempuran beberapa minggu kebelakangan. – AFP