15 terkorban tanah runtuh di sebuah hotel

LIMA, 28 Jan – Insiden tanah runtuh yang menimbus sebuah hotel semasa satu majlis perkahwinan sedang dijalankan di tenggara Peru telah mengorbankan kira-kira 15 orang, kata pihak berkuasa semalam.

“Tanah runtuh merobohkan dinding hotel dan masuk ke dalam bangunan,” kata Datuk Bandar Abancay, di mana hotel itu terletak memberitahu radio RPP.

Datuk Bandar itu, Evaristo Ramos berkata, kira-kira 100 tetamu dijemput ke majlis perkahwinan itu dan ‘15 mangsa maut sementara 34 lagi cedera’.

Anggota bomba, polis dan penduduk setempat bekerja sama sepanjang malam untuk menjalani operasi menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan, lumpur dan batu-batu itu.

Ketua Pertahanan Awam Jeneral Jorge Chavez mengatakan mereka yang terkorban adalah 11 orang wanita dan empat lelaki.

Mangsa-mangsa itu tidak termasuk pasangan pengantin, Benedicta Palomino dan Bladimir Marquez, yang berada dalam keadaan stabil, kata pegawai tempatan.

Pihak berkuasa berkata hotel Alhambra dibina sangat dekat dengan lereng bukit. Sebuah tembok penahan roboh, dan tanah runtuh berlumpur itu menyebabkan bumbung hotel runtuh menghempap para tetamu yang ada, kata mereka. – AFP