15 warga IMD sertai taklimat keselamatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi ‘F’, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mengadakan Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 kepada pegawai dan kakitangan Istana Maintenance Department (IMD) Istana Nurul Izzah, Qashr Al-Meezan dan Istana Nurul Iman yang berlangsung di pejabat IMD di Jerudong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP di sini, hari ini, seramai 15 orang pegawai dan kakitangan IMD Istana Nurul Iman, lima orang dari Qashr Al-Meezan dan empat orang dari Istana Nurul Izzah menghadiri taklimat berkenaan, yang mana mereka didedahkan mengenai antara punca-punca kebakaran berlaku, beberapa cara menyelamatkan diri daripada kecemasan kebakaran, semasa cuaca ribut petir dan semasa terperangkap dalam arus deras.

Mereka juga diajarkan secara praktikal cara-cara mengangkat mangsa semasa kecemasan dan cara-cara menggunakan alat pemadam api yang betul serta selimut api.

JBP dalam kenyataannya juga menyatakan jabatan itu ada menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api khusus.

Anggota bomba dan penyelamat menunjukkan cara-cara menggunakan alat pemadam api yang betul semasa sesi taklimat yang diadakan pada 13 Ogos lalu. – Gambar serahan JBP