150 beg makanan disumbangkan

Oleh Daniel Lim
Gambar serahan Chainblock Tug of War Team

TUTONG, 17 SEPT – Sebagai usaha berterusan untuk menghargai segala jasa dan pengorbanan golongan sukarelawan tanah air untuk bersama-sama membendung pandemik COVID-19, Chainblock Tug of War Team meneruskan inisiatif mereka untuk menghulurkan sumbangan pelbagai barangan keperluan di Daerah Tutong, baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan yang terdiri daripada pelbagai keperluan makanan asasi, minuman, biskut dan roti yang dikumpulkan ke dalam 150 beg oleh anggota pasukan tarik kalat berkenaan, diedarkan ke tiga buah pusat berasingan untuk menyokong pesakit yang dijangkiti wabak COVID-19 dan juga para petugas barisan hadapan yang merawat pesakit-pesakit COVID-19.

Pusat-pusat itu merangkumi pusat pengasingan Mahad Islam Brunei, Daerah Tutong; Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS) di Klinik Sungai Liang dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Hadir bagi menyerahkan sumbangan ialah Presiden Chainblock Tug of War Team, Pengiran Azizulakbar bin Pengiran Haji Badaruddin; Timbalan Presiden Chainblock, Awang Hussain bin Yahya; Pengurus Chainblock, Awang Jasmie bin Haji Johari dan ahli pasukan serta keluarga.

Selain itu, wakil Chainblock Tug of War Team, Awang Muhammad Ali bin Hassan juga menyatakan bahawa mereka juga akan meneruskan sumbangan mereka kepada PKBN di Daerah Temburong dalam masa terdekat.

Chainblock Tug of War Team ketika menyampaikan sumbangan kepada pusat pengasingan Mahad Islam Brunei, Daerah Tutong.
Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan, Klinik Sungai Liang ketika menerima sumbangan daripada Chainblock Tug of War Team.