150 jemaah MRSB sertai program 1M1K

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Seramai 150 jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar termasuk Muslimah masjid menyertai Program Membaca Al-Quran 1 Minggu 1 Juzuk bermula kelmarin.

Majlis berlangsung melalui Zoom itu akan diteruskan dengan Program Khatam Al-Quran 1 Minggu 1 Khatam (1M1K) bagi setiap halaqah yang diadakan setiap minggu selama 30 minggu.

Hadir sama menyertai dan mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah pada program itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong selaku penaung MRSB.

Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk menggalakkan semua untuk sentiasa berdamping dengan Al-Quran dan istiqamah sebagai kesinambungan amalan di bulan Ramadan.

Program ini juga merupakan program membaca Al-Quran sepanjang hayat iaitu pembacaan secara berterusan sampai bila-bila.

Doa penutup, doa keselamatan dan perlindungan daripada wabak khusus untuk negara ini dan Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh imam masjid, Awang Arif bin Haji Johari.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bersama jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar yang menyertai program Khatam Al-Quran 1 Minggu 1 Juzuk melalui aplikasi Zoom. – Gambar serahan MRSB