150 lagi pekerja migran Indonesia dibawa pulang

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Seramai 150 orang lagi pekerja migran Indonesia (PMI) yang bekerja di Brunei Darussalam telah berangkat pulang ke Indonesia menaiki penerbangan khusus kali keempat yang dimudahcarakan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Brunei Darussalam.

Penerbangan khusus pertama ke Jakarta telah dilaksanakan pada 1 Mei lalu, penerbangan kedua ke Jakarta pada 15 Mei dan penerbangan ketiga ke Surabaya pada 17 Mei.

KBRI dalam kenyataannya menyatakan bahawa dalam penerbangan ini ini, mereka juga memudahcarakan pemulangan seorang warga Indonesia yang sakit parah, tiga ibu hamil dan satu jenazah.

Kenyataan menjelaskan bahawa warga Indonesia yang sakit berkenaan akan dibantu Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) untuk rawatan lanjut di Rumah Sakit Bhayangkara, Jakarta, sementara itu jenazah akan dibawa terus untuk dikebumikan di daerah asal.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko berkata, KBRI merancang meneruskan penerbangan khusus pada Julai depan kerana masih ramai pekerja Indonesia yang habis kontrak sementara penerbangan tetap antara Indonesia dan Brunei masih ditutup hingga Ogos.

Warga Indonesia menjalani pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum penerbangan. – Gambar serahan KBRI di Brunei Darussalam

Tuan Yang Terutama seterusnya menjelaskan bahawa penerbangan khusus tersebut merupakan hasil pendekatan KBRI Bandar Seri Begawan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan ejen pelancongan setempat susulan penggantungan penerbangan tetap Brunei-Indonesia sejak akhir Mac 2020.

Sejak penerbangan pertama, seramai 516 orang warga Indonesia telah berhasil dibantu kembali ke Indonesia.

Selain pemulangan warga yang sakit parah dan jenazah, proses kepulangan warga Indonesia berkenaan bersifat mandiri.

Mereka yang pulang kebanyakannya adalah PMI yang telah habis masa kontrak kerjanya di Brunei Darussalam.

KBRI Bandar Seri Begawan juga telah membekali setiap penumpang dengan sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta surat keterangan jalan. Selain itu, setiap penumpang diberikan kad kuning (Health Alert Card) dari Kementerian Kesihatan Republik Indionesia yang harus diisi.

Sebaik tiba di Indonesia, mereka akan menjalani prosedur saringan COVID-19, termasuk ujian swab COVID-19 dan kuarantin selama 14 hari.