150 mualaf sertai majlis munajat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Seramai 150 orang mualaf telah mengikuti Majlis Munajat Mualaf yang diadakan melalui aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung di Instagram rasmi Pusat Dakwah Islamiah (PDI), kelmarin.

Turut serta ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput; Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar dan pegawai-pegawai PDI.

Majlis anjuran PDI melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama unit dakwah daerah-daerah itu bertujuan untuk menanamkan sikap tanggungjawab khususnya mualaf dalam sama-sama melaksanakan acara-acara keagamaan dan perkara-perkara yang berkebajikan.

Di samping itu ia juga untuk melibatkan para mualaf dalam sama-sama menanai hasrat kerajaan bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Majlis diadakan juga sebagai usaha dan rasa tanggungjawab khususnya PDI untuk terus membimbing para mualaf.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku tetamu khas.

Kemudian acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, Doa Memohon Terhindar dari wabak COVID-19 dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Pemimpin bacaan terdiri daripada guru-guru agama (mualaf) dan bilal pengambilan khas PDI, mualaf-mualaf yang berkebolehan selepas mengikuti Bimbingan Lanjutan II dan pemenang-pemenang musabaqah Al-Quran mualaf yang dikendalikan oleh PDI.

Program berkenaan telah dirasmikan pada 9 November lalu dalam usaha memohon kepada Allah SWT agar Negara Brunei Darussalam terhindar daripada penularan wabak COVID-19.

Antara yang menghadiri Majlis Munajat Mualaf secara maya itu. – Gambar serahan PDI