Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Seramai 151 pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71.
Penyampaian pingat yang berlangsung di Dewan Multaqa, KHEU, disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Roslan bin Haji Taja’ah; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Haji Serudin bin Haji Timbang.
Para penerima adalah terdiri daripada 49 penerima lelaki dan 102 lagi adalah penerima perempuan. Penganugerahan P.K.L merupakan pengiktirafan ke atas ketekunan para penerima yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik serta menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


































