152 penduduk terima ganti rugi

TOKYO, 20 Feb – Mahkamah Jepun hari ini memerintahkan ganti rugi hampir AS$4 juta dibayar kepada para penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas insiden kecairan nuklear Fukushima pada tahun 2011.

Mahkamah daerah Yokohoma memerintahkan kerajaan dan Tokyo Electric Power Co (TEPCO) membayar AS$3.8 juta kepada 152 penduduk setempat, jurucakap wanita mahkamah memberitahu AFP.

Keputusan mahkamah itu merupakan kali kelima pihak kerajaan diperintah untuk bertanggungjawab ke atas bencana di timur Jepun, insiden nuklear paling serius di dunia sejak Chernobyl pada tahun 1986.

Hakim Ken Nakadaira berkata pihak kerajaan dan TEPCO boleh mencegah kemalangan itu jika mereka mengambil langkah apabila berdepan tsunami yang mengakibatkan bencana itu, menurut penyiar awam NHK.

Pada Mac tahun lalu, mahkamah di Kyoto, barat Jepun memerintahkan kerajaan dan TEPCO bertanggungjawab dan memerintahkan mereka membayar 110 juta yen kepada 110 orang penduduk.

Bagaimanapun dalam kes berasingan pada September 2017 di Chiba dekat Tokyo, mahkamah memerintahkan hanya pengendali bertanggungjawab.

Kira-kira 12,000 orang yang melarikan diri selepas bencana itu disebabkan kebimbangan radiasi telah memfailkan pelbagai tindakan guaman ke atas kerajaan dan TEPCO. Kes-kes tersebut menyebabkan timbulnya isu sama ada kerajaan dan TEPCO, yang kedua-duanya bertanggungjawab bagi langkah pencegahan bencana, boleh meramalkan skala tsunami dan kecairan berikutnya.

Berbelas-belas tindakan guaman difailkan yang menuntut ganti rugi daripada kerajaan.

Dicetuskan oleh gempa bumi 9.1 magnitud, tsunami telah menenggelami sistem penyejukan reaktor, yang mengakibatkan tiga reaktor cair dan mencetuskan radiasi di kawasan luas. – AFP