152 pesakit dapat duit raya

LABUAN, 16 Mei – Seramai 152 pesakit di Hospital Nukleus Labuan menerima sumbangan duit raya daripada Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli di sini hari ini.

Rozman berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan itu dapat mengurangkan beban penerima pada bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma.

“Tahun ini, kami fokus kepada membantu pesakit dan kanak-kanak yang memerlukan. Sebab itu kami melawat beberapa wad di hospital bagi menyemarakkan keceriaan kepada mereka yang menghidap penyakit,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan itu.

Sementara itu, seorang penerima, Zurina Ismail, 42, bersyukur dengan pemberian duit raya itu kerana dia boleh membeli baju raya untuk empat anaknya.

“Saya seorang suri rumah dan suami hanya peniaga kecil. Wang ini tentu dapat membantu mengurangkan beban kewangan kami untuk hari raya ini,” katanya.

Ruzana Bakar, 30, pula berkata bantuan itu tepat pada masanya kerana anak perempuannya berusia tiga tahun baru saja menjalani pembedahan kecil dan mungkin akan menyambut hari raya di hospital kerana tidak pasti bila anaknya boleh keluar dari hospital. – Bernama