153 kes sembuh dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Sebanyak 133 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 3,093 orang.

Daripada jumlah tersebut, terdapat 62 tambahan kes baharu kepada sembilan kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster aktif tersebut adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, 71 kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu ini masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2,” kata Yang Berhormat Dato lagi.

Dalam pada itu, 153 kes telah disahkan sembuh pada hari ini, yang mana jumlah tersebut termasuk 34 kes positif dalam kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 1,297 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,781 kes.

“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, sembilan kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana lapan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu lagi kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 27 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Dato.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,603 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 243,746 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]