154.5 tan metrik kurma diagihkan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Yayasan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Sebagai wadah amal jariah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat Baginda, sejumlah 154.5 tan metrik buah kurma jenis Safawy akan diagihkan bermula hari ini kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam dengan tidak mengehadkan umur dan taraf kerakyatan.

Pengagihannya akan dilaksanakan secara berperingkat dengan setiap seorang Islam akan menerima satu kotak kurma seberat 300 gram yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi sebagai juadah berbuka puasa, menurut kenyataan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kelancaran pengendalian pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Baginda Sultan, Yayasan telah melaratkan lokasi pengagihan iaitu bagi orang ramai melalui ketua-ketua kampung masing-masing, sementara bagi penjawat awam melalui kementerian dan jabatan masing-masing serta bagi pegawai dan kakitangan syarikat swasta yang berdaftar adalah melalui syarikat masing-masing.

Yayasan sangat mengharapkan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak dalam melancarkan urusan pengendalian pengagihan buah kurma kurnia peribadi sepertimana yang diharapkan.

Pengagihan kurma yang dilakukan di Kementerian Pembangunan, kelmarin.
Pengagihan kurma yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri kelmarin.