155 premis perniagaan diperiksa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Sebanyak 155 buah premis perniagaan telah diperiksa iaitu sebanyak 62 buah premis makanan, 10 buah kedai gunting dan 83 gerai atau tamu makanan semasa Operasi Merati yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 13 hingga 19 Julai di keempat-empat daerah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, operasi berkenaan dijalankan di premis makanan, kedai gunting rambut, salon kecantikan dan gerai atau tamu makanan di kawasan-kawasan perniagaan iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Batu Satu, Ong Sum Ping, kawasan Taman Sultan Omar ’Ali Saifuddien dan Bandar Seri Begawan; Daerah Belait di Bangunan Haji Abdul Karim bin Husin & Anak-anak; Daerah Tutong di Pekan Tutong, Petani Mall, Berjaya Mall dan Kompleks Chempaka manakala itu, bagi Daerah Temburong di Pekan Bangar.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa hasil daripada operasi itu, sebanyak 85 buah premis perniagaan didapati tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan. Penguat kuasa kesihatan telah mengambil tindakan terhadap dua buah premis perniagaan dan telah dikenakan kompaun keseluruhannya berjumlah $400.

Manakala itu, pengurus premis-premis perniagaan selebihnya yang didapati membuat kesalahan-kesalahan ringan telah diberikan amaran serta dicatat dalam rekod rondaan Unit Penguatkuasaan Kesihatan bagi tujuan rondaan dan pemeriksaan susulan pada masa akan datang.

Kenyataan menyatakan bahawa antara kesalahan yang telah didapati daripada operasi tersebut termasuklah tidak memakai penutup mulut dan hidung bagi pengendali dan penyedia makanan, tukang gunting rambut dan salon kecantikan, tidak menyediakan pemeriksaan suhu badan dan tidak ada penjarakan sosial. Di samping itu, penguatkuasaan kesihatan juga memberikan nasihat kepada pelanggan-pelanggan premis untuk menggunakan aplikasi BruHealth (jika didapati tidak menggunakannya) semasa mengunjungi premis dan memberi teguran kepada pelanggan-pelanggan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti penjarakan fizikal semasa berada dalam premis perniagaan.

Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya serta terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.

Iaitu untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis tersebut dan mencetak kod QR dan dilekatkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan di samping mengamalkan langkah-langkah kebersihan dalam premis perniagaan.

Pegawai penguatkuasaan kesihatan ketika membuat pemeriksaan semasa Operasi Merati di salah sebuah premis perniagaan. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan