Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Sejumlah 156 tan metrik kurma jenis Ajwa bakal diagihkan ke seluruh negara kepada setiap umat Islam tidak mengira had umur dan kerakyatan di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah berkenan menyempurnakan pelancaran pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1443H/2022M berkenaan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, hari ini.
Sejurus keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke majlis itu, Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.
Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sebelum Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda.
Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Pehin mengongsikan bahawa proses penghantaran kurma dari Arab Saudi itu menggunakan kapal laut yang dimuatkan dalam 11 unit kontena dan telah selamat sampai di Pelabuhan Muara pada 19 Februari lalu iaitu mengambil masa pelayaran kurang dari satu bulan.
Menurut beliau, ketibaan buah-buah kurma kali ini telah memberikan masa yang cukup untuk mengagihkannya sebelum bulan Ramdan bermula.
Pengurniaan buah-buah kurma peribadi Baginda ini, sembah beliau, jelas mencerminkan keprihatinan mendalam atas usaha Yayasan dalam menyempurnakan hajat Baginda untuk mengurniakan amal sedekah secara khusus iaitu kurnia peribadi berupa buah-buah kurma sempena bulan Ramadan Al-Mubarak yang akan menjelang tiba.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyembahkan, pengurniaan buah-buah kurma ini adalah salah satu amal jariah Baginda serta kaum kerabat Baginda yang diungkayahkan oleh Yayasan yang dihasratkan sebagai juadah istimewa merebut sunnah tatkala berbuka puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat dan keampunan.
Seterusnya Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada wakil-wakil pasukan beruniform yang diwakili oleh pemerintah-pemerintah tentera serta komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan pengarah-pengarah jabatan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), penjawat awam sektor kerajaan dan swasta, serta pegawai-pegawai daerah.
Bacaan Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili.
Dengan pelancaran tersebut, bermulalah pembahagian buah kurma kurnia peribadi Baginda Sultan tahun ini kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam.
Pengurniaan kurma kurnia peribadi Baginda Sultan mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda dan wajar bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih keha-dapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pemerintah-pemerintah dan komandan ABDB serta pengarah-pengarah jabatan dan pegawai-pegawai pemerintah PPDB akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi berkenaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan di bawah jabatan dan unit masing-masing.
Sementara pegawai-pegawai daerah akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi berkenaan kepada semua penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang seterusnya akan mengagih-agihkannya kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan masing-masing.
Begitu juga bagi penjawat awam dan pekerja sektor swasta, pengagihan adalah melalui kementerian, jabatan dan syarikat masing-masing.
Sehubungan itu, Yayasan sangat-sangat mengharapkan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak dalam melancarkan urusan pengendalian pengagihan buah kurma kurnia peribadi sepertimana yang diharapkan supaya buah kurma kurnia peribadi ini akan diterima dengan baik dan sempurna dan seterusnya dinikmati oleh setiap orang yang beragama Islam di negara ini sebagai juadah berbuka puasa semasa bulan Ramadan nanti.
Semasa ditemui Media Permata, wakil Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Dayang Mizan Adiliah binti Haji Mohamad Deli menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas pengurniaan kurma kepada para pekerja beragama Islam di syarikat beliau ditugaskan.
“Alhamdulillah, acara ini berjalan dengan teratur dan ini jelas memperlihatkan betapa raja yang kita sayangi ini begitu prihatin kepada rakyat dan penduduk di negara ini, lebih-lebih lagi dalam sama-sama berkongsi rezeki menikmati makanan sunnah di saat menjalani kewajipan ibadah puasa pada masa terdekat ini.
“Semoga Kebawah Duli Tuan Patik berserta kerabat diraja yang lain dan juga rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa dalam rahmat, taufik, hidayah dan inayah Allah SWT dalam meniti kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara,” ujarnya lagi.