HERARE, 17 OGOS – Wabak campak di Zimbabwe meragut 157 nyawa kanak-kanak yang tidak divaksinasi disebabkan kepercayaan agama keluarga mereka, kata pegawai kerajaan setempat.
Kes pertama wabak campak dilaporkan di wilayah timur Manicaland pada awal April dan sejak itu merebak ke seluruh bahagian negara.
Menteri Penerangan Zimbabwe, Monica Mutsvangwa, menjelaskan sekurang-kurangnya 2,056 kes telah dilaporkan dan hampir kesemua kematian adalah kanak-kanak yang tidak menerima vaksin.
Kerajaan berkata ia sedang memulakan kempen pemberian vaksin secara besar-besaran yang menyasarkan kanak-kanak berumur antara enam bulan dan 15 tahun. Mereka juga akan berjumpa dan berbincang melibatkan pemimpin tradisional dan kepercayaan agama untuk menyokong usaha itu.
Zimbabwe secara aktif terus memberi vaksin campak kepada kanak-kanak walaupun wabak COVID memuncak, tetapi usaha itu mendapat tentangan oleh kumpulan agama yang menentang vaksin.
Perhimpunan gereja yang telah dibenarkan semula berikutan pelonggaran sekatan COVID telah menyebabkan penyebaran campak secara meluas ke kawasan yang sebelum ini tidak terjejas, jelas kenyataan Kementerian Penerangan. – AP