158.4 tan metrik buah kurma akan diagihkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Sejumlah 158.4 tan metrik buah kurma jenis Safawy yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi akan diagih-agihkan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam dengan tidak mengehadkan umur dan taraf kerakyatan yang mana masing-masing menerima satu kotak kecil mengandungi 300 gram.

Kapal yang membawa buah kurma itu dijangka bertolak dari Pelabuhan Jeddah, Arab Saudi pada hujung bulan ini dan dijangka sampai di Pelabuhan Muara pada hujung bulan Mac 2020.

Proses pengagihan buah kurma pada tahun ini akan dilaratkan ke pusat-pusat pengagihan buah kurma di setiap kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya termasuk institusi pengajian tinggi dan juga sebahagian masjid-masjid.

Perkara ini umumkan pada Mesyuarat Penyelarasan bagi Pembahagian Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan tahun ini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara itu dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

Dr Nor Imtihan semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi Pembahagian Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan.

Antara agenda yang dibincangkan termasuk mengenai proses pengendalian dan pengagihan buah kurma kurnia Baginda Sultan dan pengenalan bagi penggunaan Kurma App yang baharu diperkenalkan pada tahun ini, seterusnya melantik urus setia dan ahli-ahli Jawatankuasa Penyelaras Pembahagian Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi tahun ini.

Aplikasi mudah alih dan web, Kurma App diperkenalkan bagi menambah baikkan proses pengagihan buah kurma kurnia peribadi Baginda Sultan.

Ia termasuk proses pendaftaran dan pengagihan buah kurma kepada rakyat dan penduduk yang beragama Islam yang tinggal di Negara Brunei Darussalam yang mana inisiatif berkenaan dibuat bagi memastikan semua rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini menerima kurma kurnia peribadi Baginda sempena bulan Ramadan.

Di samping itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, Yayasan juga menyediakan borang khas yang diedarkan melalui ketua-ketua kampung di seluruh negara untuk diisikan oleh penerima iaitu bagi mereka yang tidak mendaftar melalui aplikasi Kurma App.  Mengenai proses pengagihan buah kurma pula, seperti lazimnya, buah kurma akan dihantar terus ke pusat pengagihan buah kurma iaitu di keempat-empat jabatan daerah dan diagihkan melalui ketua-ketua kampung masing-masing bagi orang awam.

Manakala itu, pengagihan untuk anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei akan dilakukan melalui jabatan dan unit masing-masing.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil-wakil daripada 13 buah kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dalam membantu Yayasan mengendalikan pembahagian buah kurma kurnia peri-badi Baginda Sultan tahun ini iaitu daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, jabatan-jabatan daerah, Jabatan Hal Ehwal Masjid serta pegawai-pegawai Yayasan.

Kurma kurnia peribadi ini adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda.