Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Jumlah zakat yang dikutip pada 2022 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 15.96 peratus berbanding 2021, yang mana pada 2022, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah mengutip sejumlah $21,910,607.48 berbanding $18,894,594.76 pada 2021.
Manakala itu, bagi 2023, setakat Julai lalu, sekitar $16.8 juta telah berjaya dikutip iaitu sekitar 77 peratus daripada jumlah hasil kutipan 2022.
Sehubungan itu, Syarikat Al-Bukhari Textile Centre Sdn Bhd telah menyerahkan zakat perniagaan berjumlah $20,000 kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada majlis yang diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Baharu, KHEU, hari ini.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua MUIB menerima zakat berkenaan yang diserahkan oleh Pengarah Syarikat Al-Bukhari Textile Centre Sdn Bhd, Waheed Alam.
Wang zakat yang dikutip akan diagihkan kepada asnaf-asnaf yang berhak di negara ini dan pengagihan akan dilaksanakan melalui skim-skim agihan iaitu Skim Agihan Bulanan, Skim Agihan Asasi, Skim Agihan Persekolahan, Skim Agihan Institut Pengajian Tinggi, Skim Agihan Sewa Rumah, Skim Agihan Al Gharimin, Skim Agihan Perubatan, Skim Agihan Modal Berusaha dan Skim Agihan Program Pengupayaan Asnaf Zakat.
Di negara ini, MUIB adalah badan yang berkuasa dan bertanggungjawab dalam mentadbir dan mengurus kutipan dan agihan zakat. Kuasa dan tanggungjawab tersebut adalah berdasarkan peruntukan undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu bab-bab 114 hingga 121 dan juga Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.
Berikutan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat (BAKAZ) menjadi Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB) pada 19 Julai lalu, semua pengendalian proses kutipan dan pengagihan zakat di negara ini menjadi tanggungjawab jabatan ini.
Antara matlamat JUZWAB ialah untuk memastikan pengurusan wang zakat, termasuk kutipan dan pengagihannya dilaksanakan secara teratur dan efisien.
Bagi sebarang makluman lanjut dan pertanyaan, orang ramai bolehlah berhubung dengan jabatan itu di Aras Bawah, Bangunan KHEU, Jalan Dewan Majlis ataupun melalui talian 8292526.