PYEONGCHANG, 15 Feb – Enam belas cedera selepas angin kencang mencetuskan kekecohan di Taman Olimpik Gangneung, iaitu satu daripada lokasi Sukan Olimpik Musim Sejuk, di sini.
Mangsa adalah 13 kakitangan dan tiga penonton yang cedera selepas papan tanda, khemah dan peralatan lain diterbangkan angin kencang, semalam.
Berikutan itu, lokasi empat acara sukan ais berkenaan terpaksa ditutup kepada pengunjung dan orang ramai diminta tidak berada di luar bangunan.
Tiupan angin kencang itu kembali reda hari ini.
“Terdapat beberapa peralatan dan kemudahan di sini yang diterbangkan angin.
“Beberapa papan tanda turut tertanggal dan hilang akibat angin kencang. Kami terpaksa memperbaikinya,” kata jurucakap jawatankuasa penganjuran sukan, Sung Baik-you.
Baik-you berkata, turut musnah dalam kejadian itu adalah 60 khemah, manakala 120 pagar yang dipasang di sekitar lokasi itu runtuh.
Beliau berkata, semua mangsa yang cedera sudah dirawat dan dihantar pulang ke rumah masing-masing.
Angin kencang itu menyebabkan beberapa jadual perlawanan terjejas, malah dua, iaitu perlumbaan ski dan acara biatlon terpaksa ditangguhkan.
Namun, hari ini, semua acara yang dipertandingkan berlangsung mengikut jadual. – AFP