16 daripada 69 PIP BIMP-EAGA dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Enam belas daripada 69 Projek Infrastruktur Utama (PIP) di bawah BIMP-EAGA Vision 2025 (BEV2025), dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak AS$22.7 bilion, siap dilaksanakan setakat ini dengan bakinya dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata BEV2025 telah menetapkan sasaran sebuah wilayah yang berdaya saing dan mampan melalui pelbagai strategi dengan tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian dan perikanan, penggunaan teknologi hijau dalam sektor pembuatan dan pembangunan sektor pelancongan.

BEV2025 merupakan kerjasama serantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Seperti yang ditekankan Perdana Menteri pada sidang kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok lepas, sudah tiba masanya untuk negara ASEAN mengambil inisiatif khusus dalam meningkatkan dagangan antara negara di rantau ini.

Untuk itu, usaha khusus perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan dagangan antara 10 negara ASEAN. Perdana Menteri turut menggesa semua negara ahli untuk menggalakkan kesalinghubungan dalam segala aspek, daripada infrastruktur digital, peraturan, sehinggalah kepada hubungan rakyat dalam mewujudkan ASEAN yang sempurna,” katanya ketika menjawab soalan lisan Awang Hashim (PAS-Pendang) pada sesi Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ini katanya, akan membuka ruang kepada setiap negara untuk menggunakan kelebihan saingan masing-masing bagi meningkatkan perdagangan rentas sempadan. – Bernama