16 ditahan terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Seramai 16 warga tempatan terdiri daripada 15 lelaki dan seorang perempuan telah ditahan dalam empat serbuan serentak yang dijalankan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) di Kampung Wasan pada 6 Jun lalu.

Operasi serbuan ke kawasan yang dikenal pasti aktif dalam kegiatan penyalahgunaan dadah itu telah berjaya memberkas individu-individu berusia dalam lingkungan 15 ke 54 tahun.

Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan itu telah menemui paket-paket plastik berisi pecahan hablur yang dipercayai dadah jenis Syabu, dadah Kelas A melebihi 7 gram yang dianggarkan bernilai lebih $1,000.

Kenyataan yang diterima dari BKN hari ini menyatakan antara barangan lain yang dirampas ialah beberapa alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, timbangan digital dan paket-paket plastik kosong, telefon bimbit yang semuanya dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah dan sejumlah wang tunai dalam anggaran melebihi $18,000 termasuk pelbagai mata wang asing yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Lima daripada yang ditangkap masih disiasat di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan 15 sebatan dan memiliki bagi tujuan mengedar dadah terkawal Kelas A, lebih 100 gram membawa kepada hukuman gantung hingga mati.

Antara barangan yang dirampas semasa serbuan di Kampung Wasan. – Gambar serahan BKN

Manakala dua orang di bawah Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas digunakan untuk memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya.

Tiga lagi di bawah Seksyen 6 (a) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda $20,000 atau kedua-duanya.

Seorang di bawah Seksyen 10 APD, Penggal 27 atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27.

Sementara kesemuanya tertakluk di bawah Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya.

BKN turut mengingatkan bahawa sesiapa yang cuba bersubahat melakukan kesalahan di bawah APD Penggal 27 akan dihukum dengan hukuman yang sama menurut akta tersebut.

Justeru itu, BKN menyeru kepada orang ramai agar memberikan kerjasama dalam sama-sama membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan kesejahteraan negara dengan menghubungi talian 2448877, hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]