Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan KKBS
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini, telah mengadakan majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan JAPEM kepada 16 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran, banjir dan angin kencang.
Hadir menyampaikan bantuan kewangan yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, bangunan KKBS tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis menyaksikan penyampaian sumbangan kepada dua ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran, dua ketua keluarga terlibat dalam kejadian banjir dan 12 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKBS, kejadian kebakaran yang berlaku pada 29 Januari lalu telah meranapkan bahagian atas sebuah rumah di Kampung Sungai Belukut dan mengakibatkan seorang lelaki berumur 70 tahun terkorban.
Manakala itu, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Katok pada 10 Januari lalu.
Hujan lebat yang berterusan pada 4 hingga 6 Disember 2021 juga menyebabkan sebuah rumah di Kampung Junjungan dan sebuah rumah di Kampung Madewa dimasuki air melebihi paras satu kaki.
Dalam kejadian yang berasingan pula, sebanyak 12 buah rumah di kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan C, Kuala Belait telah mengalami kerosakan atap atau atap terbang berikutan kejadian angin kencang yang berlaku pada 7 November 2021.
KKBS menyatakan, pemberian bantuan kewangan tersebut adalah untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana bagi meneruskan kehidupan seharian.
Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.